Mengembara
beribu batu untuk menuntut ilmu, mempelajari dan mengumpul hadis-hadis
Rasulullah SAW bukanlah satu kerja yang mudah. Tapi itulah minat dan
kecintaan lelaki luar biasa ini. Kesungguhannya amat ketara walaupun
umurnya masih muda remaja. Pernah Imam Bukhari bermusafir 8,000
kilometer untuk mendapatkan sepotong hadis sahaja.
Bagaimanapun, beliau sangat teliti dalam menyaring Hadis-hadis yang
diterimanya sebelum mengklasifikasikannya sebagai Hadis sahih.
Satu ketika beliau pergi ke rumah seorang perawi Hadis. Beliau melihat
orang berkenaan sedang menabur sesuatu kepada binatang ternakannya.
Rupa-rupanya dia menabur pasir untuk mengumpan haiwan itu supaya
mendekatinya.
Melihat perbuatan orang tersebut, terdetik di hati Imam Bukhari, "Kalau
orang ini boleh berlaku tidak jujur dengan haiwan, dia juga boleh
berlaku tidak jujur dengan ilmu."
Lalu beliau sekadar berjumpa orang itu-tetapi tidak mengambil Hadis daripadanya.
Bagaimanapun, sekiranya beliau tidak menerima Hadis-hadis yang diragui
perawiannya, Imam Bukhari tidak akan menyebut nyebut keaiban
perawi-perawinya, apalagi mengumpat atau mencela mereka. Beliau hanya
mengatakan, "Hadis ini tidak mencukupi syarat-syarat yang diperlukan
untuk diakui sebagai Hadis yang sahib" atau "Hadis ini tidak dipakai
orang."
Sewaktu kecilnya, Imam Bukhari telah hilang penglihatannya. Ibunya
tidak putus-putus berdoa kepada Allah agar penglihatan anaknya pulih.
Hinggalah pada satu malam si ibu yang berhati mulia itu telah bermimpi
bertemu Nabi Ibrahim a.s.
Dalam mimpinya itu Nabi Ibrahim a.s. berkata, "Wahai ibu! Allah telah
mengembalikan penglihatan anakmu disebabkan doamu yang tulus dan
sepenuh hati."
Keesokan harinya, ketika si ibu bangun dari tidur, beliau amat terkejut
dan gembira melihat anaknya Muhammad (nama sebenar Imam Bukhari) pulih
penglihatannya.
"Muhammad... kau telah dapat melihat semula?" tanya ibunya.
"Ya, bu, berkat doa ibu," jawab Imam Bukhari dengan wajah ceria. Berkat
doa ibunya juga, Imam Bukhari terbuka hatinya untuk mendalami ilmu
terutama ilmu tentang Hadis. Sebagai tanda kesyukuran, si ibu merelakan
anaknya berpisah daripadanya dan merantau menuntut ilmu.
Imam Bukhari telah menghabiskan sebahagian umurnya mengembara ke
pelbagai tempat untuk belajar dan mengumpul Hadis untuk dimuatkan di
dalam kitabnya "Sahih Bukhari" .
Pada satu malam Imam Bukhari bangun menyalakan lampu lalu pergi
menyucikan diri. Kedinginan malam langsung tidak menggoyahkan azam dan
niatnya untuk bermunajat pada Tuhan, seolah dia sudah lali dengannya.
Setelah menunaikan beberapa rakaat sembahyang, dia mengambil masa
menulis dan menyalin kembali Hadis-hadis yang baru diterimanya.
Menjelang Subuh, beliau menyambung sembahyangnya sebanyak 13 rakaat
lagi.
Pada masa yang lain pula beliau akan berwudhuk dan melakukan sembahyang
dua rakaat setiap kali hendak menulis (menaqalkan) sesebuah Hadis di
dalam kitabnya "Sahih Bukhari" . Bagi beliau, Hadis adalah wahyu Allah
jua, maka kepada-Nya beliau mohon pertolongan untuk menyempurnakan
kerja mengumpul dan menyaring Hadis-hadis yang dipusakakan oleh Rasul
tercinta.
Beliau juga dikenali sebagai ahli khusyuk. Pernah Imam Bukhari meminta
tolong kawan-kawannya membuang sesuatu di belakang badannya yang
membuatkan dia rasa tidak selesa setelah bersembahyang tadi.
"Masya-Allah, kau disengat lebah," seru kawan-kawannya dengan nada
hairan. Di belakang badan Imam Bukhari terdapat kesan-kesan lebam bekas
sengatan lebah. Kebiasaannya, orang yang kena sengat sampai begitu
tentu akan menjerit dan mungkin jatuh pengsan. Pelik, serangan
lebah-lebah itu tidak sedikit pun mengganggu sembahyangnya.
Namun tidak ada yang aneh bagi manusia besar seperti Imam Bukhari ini.
Sejak ia mula mengangkat takbir yang pertama untuk sembahyang hinggalah
selesai memberi salam tiada ruang di hatinya untuk yang lain mencelah
selain dan bermunajat dengan Penciptanya Yang Maha Pengasih.